UJUB MERUSAKKAN IBADAT
MUHAMMAD ISA AL-JAMBULI
DIRIWAYATKAN dalam sebuah
hadis : Terdapat tiga sifat diri manusia yang akan mencelakakannya, iaitu
bakhil yang berterusan, hawa nafsu yang dipuaskan dan ujub kepada diri sendiri.
Ujub bermaksud mengkagumi kelebihan
diri sendiri, mengagungkan amal ibadatnya dan merasakan ibadat yang
dilakukannya itu adalah atas kesedaran dan usaha dirinya sendiri. Menurut para
ulamak, ujub ialah anggapan hamba Allah, bahawa kemuliaan dan terlaksananya
amalannya adalah disebabkan oleh sesuatu yang lain daripada Allah, sama ada
disebabkan oleh dirinya sendiri atau oleh orang lain atau kedua-duanya sekali.
Sebagaimana riyak, ujub juga boleh menjejaskan pahala ibadat. Penyakit ujub juga mendindingi taufik, hidayah
dan 'inayah Allah Taala. Dengan yang demikian, akibat yang akan berlaku ke atas
diri orang yang berkenaan ialah "kecelakaan".
Menurut
ulamak, amalan orang yang berpenyakit ujub menjadi sia-sia kecuali apabila dia
sempat bertaubat sebelum mati. Akibat ujub, amalan sesorang menjadi gugur,
terkeluar daripada nama kebajikan dan tidak berhak mendapat pahala atau pujian
daripada Allah Taala.
Diriwayatkan, nabi 'Isa 'alaihil-salam pernah bersabda: "Hai
sekalian para Hawariyyun. Pelita-pelita terpadam karena tiupan angin, manakala
hamba-hamba Allah terbinasa karena ujub". Lawan
kepada ujub itu ialah “dzikrul-minnah” (mengingati
segala nikmat kurniaan Allah), termasuk sentiasa mengingati bahawa amalan
yang dikerjakan adalah disebabkan oleh taufik Allah Taala. Dan, hanya Allah
Taala yang memuliakan amalan itu dan membesarkannya atau menilai dan menentukan
kadar pahalanya.
Mengikut
ulama lagi, dzikrul-minnah wajib dilakukan apabila timbulnya rasa ujub dan
sunat dilakukan setiap detik. Jadi, zikrul-mannah itu merupakan ubat atau cara
pencegahan penyakit ujub.
Dalam
konteks penyakit ujub, manusia terbahagi kepada tiga golongan :
§ ujub
dalam setiap perlakuan / amalan;
§ kadang-kadang
ujub dan kadang-kadang tidak;
§ bebas
daripada penyakit ujub.
Dalam golongan yang pertama itu, termasuklah kaum
Mu'tazilah dan Qadariah. Mereka langsung tidak mengaitkan perlakuan mereka atau
amalan mereka dengan 'inayah dan taufiq daripada Allah Taala. Malah, mereka
mengingkarinya. Bagi mereka, terlaksananya segala amalan mereka adalah atas
kehendak dan usaha mereka sendiri. Ini merupakan akidah mereka, akidah yang
ditolak oleh ahli al-Sunnah wal-Jama'ah.
Mereka
yang termasuk dalam golongan yang kedua pula terdiri daripada orang-orang awam
daripada golongan Ahli al-Sunnah wal-Jama'ah. Mereka kadang-kadang ujub apabila
mereka di dalam kelalaian yang menutup mata qalbu mereka. Tetapi, apabila sedar
tentang dzikrul-minnah, mereka tidak ujub pula.
Golongan
yang ketiga itu sentiasa di dalam
kesedaran dzikrul-minnah. Mereka ialah
golongan yang lurus, tidak mengkagumi amalan mereka dan tidak membanggakan diri
dengan amalan mereka. Mereka tidak pernah ujub sepanjang waktu.
Selain
penyakit ujub dan riak, menurut para ulama, sekurang-kurangnya lima penyakit
lagi yang dikenalpasti merosakkan amal ibadat seseorang hamba Allah, iaitu
:
1. nifaq
(sifat orang munafiq);
2. membangkit-bangkitkan
amalan (al-mann);
3. menyakiti
hati orang yang menerima sedekah (al-adza);
4. menyesali
perbuatan yang baik atau amal kebajikan;
5. melakukan
amal ibdat tetapi didalam kedaan meringan-ringankannya dan tidak
bersungguh-sungguh menepati waktu beribadat.
Untuk
memelihara pahala atau matlamat amal ibadat, antara lain, kita hendaklah
mengerjakannya dengan :
1. ikhlas
beramal atau ikhlas menuntut pahala daripada amalan (lawan kepada nifaq dan
riak);
2. sentiasa
mengingati kurniaan, taufik dan 'inayah Allah (dzikrul-minnah);
3. menyerahkan
amalan kepada Allah dan tidak membangkit-bangkitkan amalan (khusunya dalam
amalan bersedekah);
4. tidak
menyakiti hati orang dengan mengungkit-ungkitkan kebajikan yang dilakukan
(khususnya dalam amalan bersedekah, penerima sedekah tidak dihina, dicela atau
dipandang rendah);
5. benar,
tulus hati dan sentiasa bersyukur atas nikmat taufik dan hidayah Allah;
6. segera
merebut peluang mengerjakan kebajikan (tidak melepaskan kesempatan yang ada
untuk beribadah);
Dengan keadaan-keadaan yang
demikian, insya-Allah, amal ibadat kita tetap terlihara, dimakbulkan oleh Allah
Subhanahu wa Ta'ala dan dikurniakan ganjaran pahala yang besar.
Wallahu a'lam.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar